Monday, October 6, 2014

El Nino semakin sukar diramal


  
 Malaysia dijangka terselamat daripada dilanda fenomena El Nino dahsyat yang sebelum ini diramalkan oleh Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom melanda rantau Asia Tenggara bermula pertengahan tahun ini.
El Nino ialah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.
Fenomena tersebut menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia. Antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan sementara di kawasan lain terjadi kemarau panjang.
Malaysia tidak terkecuali daripada keadaan tersebut. Bagaimanapun, Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan negara ini hanya mengalami fenomena El Nino lemah, dalam erti kata lain ia tidak mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan sehingga penghujung tahun ini.
Kenyataan itu memberitahu, sehingga pertengahan September lalu, kesan El Nino masih pada paras neutral berdasarkan laporan Oceanic NiƱo Indeks (ONI) bagi bulan Julai yang merekodkan purata suhu permukaan laut bagi Jun, Julai dan Ogos ialah 0.0 darjah Celsius.
Sumber: Kosmo