Jakarta, 115 pulau Indonesia mungkin tenggelam
JAKARTA: Perubahan iklim global mungkin menyebabkan kota Jakarta dan 115 pulau lain di Indonesia tenggelam, manakala wilayah Kalimantan dianggap paling selamat jika ibu negara republik itu terpaksa dipindahkan.
Wakil Ketua Pengarah Dewan Nasional Perubahan Iklim Indonesia, Dr Armi Susandi, berkata kenaikan paras air laut akibat perubahan iklim boleh menenggelamkan wilayah pesisir negara itu, termasuk Jakarta, jika tiada usaha serius menanganinya.
“Cadangan untuk memindahkan ibu negara Indonesia ke Kalimantan adalah satu syor baik. Tahun 2030 masa paling sesuai untuk memindahkannya berikutan potensi bahaya yang lebih rendah. Jakarta terlalu padat dengan penduduk dan sering tercemar,” katanya ketika ditemui wartawan. Armi yang juga dekan Fakulti Ilmu dan Teknologi Bumi Institut Teknologi Bandung (ITB) berkata, kajian dijalankan pihaknya menunjukkan 115 pulau di Indonesia dan bahagian utara pulau Jawa akan tenggelam menjelang 2100.
Beliau berkata pada 2010, paras air laut di Indonesia dianggarkan meningkat 0.4 meter dan setakat ini negara itu sudah kehilangan kawasan seluas 7,408 kilometer persegi.
“Menjelang 2100 sebanyak 90,260 kilometer persegi wilayah daratan Indonesia akan hilang, manakala paras air laut dijangka naik 1.1 meter,” katanya.
Beliau berkata kesan bencana alam di Kalimantan lebih rendah berbanding pulau Jawa berikutan kenaikan paras laut lebih rendah. Berikutan itu ia lebih sesuai sebagai tapak baru ibu negara Indonesia.
“Kalimantan mempunyai beberapa kelebihan. Ia tiada gunung berapi dan bukan tempat pertemuan plet tektonik,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Fakulti Ekonomi Universiti Indonesia Tezza Napitulu berkata kajian mendalam perlu dilakukan, manakala pemindahan itu perlu dilakukan seiring dengan pengendalian dan pengurusan wilayah Kalimantan.
“Saya bersetuju jika ibu negara Indonesia dipindahkan ke Kalimantan, tetapi ia bukan penyelesaian semua masalah. Kerajaan perlu menjalankan kajian lebih terperinci mengenai perkara ini,” katanya. – Agensi
Sumber: Berita Harian(24/4/2010)