KUALA LUMPUR - Tahap kesuburan di kalangan wanita Malaysia menunjukkan
penurunan mendadak sejak kebelakangan ini daripada 3 anak bagi setiap
wanita pada 2000 kepada 1.9 anak pada 2012.
Ini berikutan wanita masa kini lebih memberi tumpuan kepada peningkatan kerjaya mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani
Abdul Karim menegaskan ia adalah isu penting yang mendapat perhatian
kementeriannya kerana faktor ini mampu menyekat pertumbuhan penduduk
andai tiada langkah diambil untuk menanganinya.
"Pemikiran wanita sekarang adalah berbeza berbanding wanita sebelum
ini. Mereka kini lebih menitikberat kerjaya, sekali gus mengakibatkan
mereka mengabaikan keperluan mendapatkan anak," katanya selepas
merasmikan Persidangan Persatuan Populasi Asia ke-3 (APA), di sini,
semalam.
Menurutnya satu lagi punca penurunan kesuburan di kalangan wanita
Malaysia adalah mereka lebih memilih bersendirian daripada berkahwin
kerana menganggapnya satu halangan untuk meningkatkan kerjaya.
Berikutan itu, Rohani berkata kementeriannya sedang berusaha keras
untuk meningkatkan tahap kesedaran yang masih dianggap rendah ketika
ini.
"Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memberi kesedaran di kalangan
wanita dengan menganjurkan pelbagai bengkel dan ceramah untuk mendidik
wanita akan keperluan meningkatkan tahap kesuburan di negara ini,"
katanya.
Mengenai Persidangan APA, Rohani berkata Malaysia mencapai banyak
sasaran yang ditetapkan untuk tempoh 20 tahun dalam Program Tindakan
Persidangan Antarabangsa Mengenai Penduduk dan Pembangunan (ICPD-PoA)
yang berakhir tahun lalu dan Pembangunan Milenium (MDGs), yang dibuat
pada tahun 2000.
"Saya berbesar hari untuk menyatakan kementerian saya sudah mencapai
sasaran ICPD-Poa dan MDGs terutama dalam mengurangkan kemiskinan,
persamaan gender, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif
remaja," katanya.
Persidangan empat hari itu disertai 600 peserta dari 40 negara Asia yang melibatkan pembuat dasar dan pakar kesihatan. -Bernama
(Sinar Harian: 28 Julai 2015)