Tuesday, October 26, 2010

Gunung Merapi dijangka meletus





GUNUNG MERAPI, Indonesia 25 Okt. – Kerajaan Indonesia hari ini memberi amaran gunung berapi paling aktif, Gunung Merapi akan meletus pada bila-bila masa dan mengarahkan beribu-ribu penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu supaya bersiap-sedia untuk berpindah.

Ahli vulkanologi, Surono berkata, aktiviti Gunung Merapi dilihat aktif sejak seminggu lalu dan pihak berkuasa meningkatkan status gunung berapi yang berketinggian 2,968 meter itu kepada tahap paling kritikal.

Gunung berapi tersebut kali terakhir meletus pada 2006 apabila ia menghamburkan gas dan serpihan batu mengakibatkan dua orang terkorban.

Kejadian yang serupa berlaku pada 1994 mengakibatkan 60 orang maut sementara 1,300 orang terkorban pada letusan pada 1930.

“Pihak berkuasa meramalkan jika ia meletus, magma akan mengalir ke sebelah selatan,” kata ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo di mana Gunung Merapi itu terletak.

Katanya, pihak berkuasa memberi amaran kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu agar bersedia untuk ‘pemindahan segera’.

Kira-kira 40,000 penduduk tinggal berhampiran gunung itu.

Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer dari sini.

Penduduk sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.

Saksi berkata, kebanyakan penduduk dilihat masih mengusahakan ladang dan memberi makan kepada lembu-lembu mereka hari ini.

Terdapat 129 gunung berapi yang aktif bertaburan merentasi 17,500 buah pulau di republik ini dan mudah meletus serta dilanda gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik. – AP

Sumber: Utusan Online

0 comments:

Post a Comment