Wednesday, December 22, 2010

Penduduk Malaysia 27.56 juta orang

PUTRAJAYA 22 Dis. - Laporan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 menunjukkan jumlah penduduk Malaysia kini adalah seramai 27,565,821 orang.

Ia terdiri daripada 14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan dengan purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 sehingga 2010 ialah 2.17 peratus.

Semasa tempoh bancian, terdapat 6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh negara.

Laporan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini. -

Sumber :Utusan Online

Thursday, December 16, 2010

Planet baru ditemui penyelidik Qatar

img2LAKARAN artis menunjukkan planet Qatar-1b.



DOHA - Sepasukan ahli astronomi diketuai Qatar bagi mencari planet baru di cakerawala telah menemui sebuah planet yang mengelilingi sebuah bintang yang terletak sejauh 500 tahun cahaya dari Bumi.

Planet tersebut dinamakan Qatar-1b, sempena nama negara Asia Barat itu.

Planet itu sebahagian besarnya terbentuk daripada gas dan 20 peratus lebih besar berbanding Musytari iaitu planet kelima dan terbesar dalam sistem suria.

Yayasan Qatar Bagi Pembangunan Pendidikan, Sains Dan Komuniti semalam memberitahu, penemuan planet baru itu akan dilaporkan dalam jurnal bulanan, Monthly Notices of the Royal Astronomical Society.

"Penemuan planet Qatar-1b merupakan pencapaian yang hebat sekali gus membuktikan komitmen Qatar untuk menjadi pelopor dalam bidang sains inovatif dan penyelidikan," kata ketua bancian sistem planet luar suria yang juga pengarah penyelidikan yayasan berkenaan, Dr Khalid Al Subai.

Seorang lagi ahli astronomi dalam penyelidikan itu, Professor Keith Horne dari Universiti St. Andrews di Scotland berkata, planet Qatar-1b membuat pusingan lengkap mengelilingi bintangnya setiap 1.4 hari bermakna satu tahun di planet itu menyamai 34 jam di Bumi.

Sebahagian planet itu menghadap bintangnya berbeza dengan Bumi yang berputar pada setiap 24 jam yang menyebabkan berlakunya siang dan malam. – AFP

Sumber: Kosmo Online 16 Dis 2010

Wednesday, December 15, 2010

Cuaca Sejuk Di Chicago Bekukan Pokok, Rumput

img1

CHICAGO: Angin kencang dengan kelajuan 64.4 kilometer menyebabkan ombak membadai pantai dan suhu di bawah takat beku menyebabkan ais membeku (gambar) pada pokok dan rumput di sekeliling tasik di Chicago, Illinois, kelmarin.

Salji, suhu terlampau sejuk dan angin kencang menyebabkan pembatalan lebih 1,500 penerbangan di lapangan terbang bandar dan mencetuskan huru hara di bahagian barat tengah Amerika Syarikat.

Suhu amat sejuk sepatutnya berakhir sehingga hujung minggu ini dengan ribut dijangka tiba di kawasan barat tengah Khamis lalu, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional. Salji menghala ke timur dengan amaran cuaca buruk dikeluarkan di Indiana, Ohio, Kentucky, Tennessee, Virginia Barat, timur Pennsylvania, barat New York dan Vermont.

Salji menebal di Pittsburgh dan Cleveland mungkin menerima 20 sentimeter salji ketika cuaca terus sejuk.

Kesan salji di Great Lakes menyebabkan salji menebal sehingga 60.96 sentimeter di utara Indiana, Ohio, barat Pennsylvania dan barat New York.

Beliau berkata Indianapolis, Cleveland, dan Pittsburgh mengalami salji yang cukup untuk mencetuskan masalah pengangkutan. – AFP

Berita Harian Online: 15 Dis 2010

Saturday, December 11, 2010

Sampah di Kuala Lumpur membimbangkan - Dr. M

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sebanyak tujuh juta tan sampah dihasilkan oleh penduduk di kawasan pembangunan Greater Kuala Lumpur (Greater KL) yang dianggarkan berjumlah 5.5 juta orang setiap tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan sebahagian daripada 34,310,000 tan sampah yang dihasilkan keseluruhan rakyat di negara ini pada jangkamasa sama.

Menurut beliau, jumlah itu amat membimbangkan kerana negara memerlukan kawasan yang luas untuk pelupusan sampah.

''Apa yang boleh kita lakukan dengan tujuh juta tan sampah itu? Sudah tentu kita boleh buangkan sahaja ke tepi jalan atau longkang dan sungai.

''Namun, ia akan mengakibatkan longkang dan sungai dipenuhi sampah serta tersumbat yang seterusnya menyebabkan banjir.

''Atau juga kita boleh bakar sahaja sampah di belakang rumah. Jika sebuah rumah berbuat demikian mungkin ia okey. Tetapi bagaimana kalau setiap orang di Kuala Lumpur melakukannya? Bukan sahaja jerebu malah ia akan mencemarkan alam sekitar,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan insinerator untuk pelupusan sampah mungkin menjadi jalan penyelesaian.

Sungguhpun begitu, jelasnya, tidak ada kalangan kita yang mahu insinerator dibina di kawasan berhampiran masing-masing.

''Untuk itu, kita perlu mencari kawasan yang tidak didiami oleh sesiapa bagi membinanya. Namun, jika diperhatikan di kawasan sekitar pembangunan Greater KL, sudah pasti kita tidak akan dapat mencari sebidang tanah yang sesuai untuk dibina insinerator.

''Jika ada, sudah tentu ia agak jauh dan akan meningkatkan kos pengangkutan yang diselenggara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),'' ujarnya.

Beliau seterusnya mencadangkan agar mereka yang menghasilkan sampah dikenakan bayaran tertentu.

''Tetapi, saya tidak fikir setiap daripada kita bersetuju dengan cadangan itu.

''Inilah dilema yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang saya utarakan dalam blog supaya masyarakat dapat memikirkan jalan penyelesaian bersama,'' tambahnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432