Thursday, October 6, 2016

Taufan Chaba mencetus tsunami di Korea


SEOUL – Taufan Chaba membadai bahagian selatan Korea Selatan semalam dengan membawa angin kencang, hujan lebat dan ombak besar mirip tsunami yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.
Ribut berkelajuan 180 kilometer sejam itu kini bergerak ke Pulau Honshu di Jepun.
Taufan Chaba membadai Pulau Jeju semalaman dengan seorang dilaporkan hilang, manakala banyak kediaman dan bangunan rosak. Sebanyak 26 penerbangan yang menghubungkan pulau percutian itu dengan China telah dibatalkan.
Bandar pelabuhan terbesar Korea Selatan, Busan pula ditutup untuk hari kedua semalam ketika Chaba melanda dan bergerak ke arah Jepun.
Media tempatan melaporkan lima orang terbunuh di Busan dan bandar Ulsan, namun Kementerian Keselamatan Awam meletakkan angka kematian kepada tiga orang, manakala tiga yang lain dilaporkan hilang.
Rakaman televisyen menunjukkan banjir besar melanda beberapa kawasan di Ulsan dan Busan dengan banyak kereta serta bangunan digenangi air.
Taufan Chaba turut menyebabkan ombak tsunami yang membadai bangunan-bangunan apartmen tepi pantai di Busan.
Lebih 80 penerbangan di Lapangan Terbang Gimhae telah dibatalkaan, kata seorang pegawai tempatan. Menurutnya, perkhidmatan kereta api laju KTX menuju ke selatan negara itu juga telah dibatalkan.
Chaba dijangka semakin lemah menjadi ribut tropika apabila sampai di Jepun. – AFP

0 comments:

Post a Comment